Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 29 Mac. - Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar telah menghadiri Persidangan Tahunan Forum Zhongguancun 2026 (The 2026 ZGC Forum Annual Conference) yang telah berlangsung pada 25 sehingga 29 Mac 2026 di Zhongguancun International Innovation Center, Beijing, Republik Rakyat China.
Persidangan Tahunan Forum Zhongguancun 2026 bertemakan 'Integrasi Menyeluruh Antara Inovasi Teknologi dan Industri' tersebut telah dirasmikan oleh Naib Premier Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Ding Xuexiang.
Ia merupakan acara antarabangsa global, komprehensif, terbuka dan bertaraf tinggi yang dikelolakan bersama oleh Kerajaan Perbandaran Beijing (Beijing Municipal Government), bersama-sama dengan pelbagai kementerian daripada Majlis Wilayah Republik Rakyat China (the State Council of China) dan juga akademi-akademi kebangsaan tertinggi dengan misi untuk meningkatkan inovasi global dalam sains dan teknologi.
Antara lain, persidangan berkenaan telah menampilkan forum-forum peringkat tinggi, siaran pencapaian inovasi utama, Pameran Perdagangan Teknologi Antarabangsa ZGC serta pertukaran kerjasama teknologi dengan memberi tumpuan kepada trend canggih dan topik hangat dalam sains dan teknologi di seluruh dunia dengan dihadiri oleh saintis, inovator dan usahawan global terkemuka bagi membincangkan perkembangan terkini dalam sains dan teknologi serta hala tuju inovasi global.
Pada sesi forum World Digital Forum 2026 sempena Zhongguancun Forum 2026 yang memberi tumpuan kepada kemajuan besar dalam Kecerdasan Buatan (AI) perubatan, 'life and health big data', teknologi diagnostik dan terapeutik pintar serta pencegahan dan kawalan penyakit utama, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama yang menumpukan kepada integrasi digital dan AI dalam pembangunan ekosistem kesihatan masa hadapan.
Dalam ucapan Yang Berhormat menyatakan bahawa transformasi digital dan penggunaan AI telah mula membentuk semula cara penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan, pelaksanaan kaji selidik serta tadbir urus kesihatan awam, dan seterusnya mengiktiraf kemajuan pesat Republik Rakyat China dalam kesihatan digital, khususnya dalam penggunaan AI dalam diagnostik, sokongan keputusan klinikal dan pengurusan data kesihatan sebagai contoh yang boleh dipelajari oleh komuniti global.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam (NBD), dengan peningkatan prevalen penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit kardiovaskular dan obesiti yang memerlukan penjagaan jangka panjang, pengesanan dan pencegahan awal, perubahan tingkah laku dan sumber Kesihatan yang berterusan, transformasi digital dan penggunaan AI merupakan keperluan praktikal dalam meningkatkan kecekapan sistem kesihatan.
Ia akan dapat menyokong profesional kesihatan dengan mengurangkan beban pentadbiran, meningkatkan kualiti dokumentasi serta menyokong keputusan klinikal. Manakala, pada peringkat sistem pula, penganalisaan data boleh memberikan gambaran lebih jelas terhadap tren kesihatan penduduk dan dapat memberi panduan kepada intervensi dasar yang lebih efektif.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengongsikan mengenai aplikasi BruHealth yang diperkenalkan semasa pandemik COVID-19 telah berkembang menjadi platform kesihatan digital kebangsaan yang meningkatkan akses kepada perkhidmatan, penglibatan rakyat serta pengurusan maklumat kesihatan secara bersepadu.
Platform digital BruHealth kini menjadi asas penting bagi pembangunan keupayaan AI, termasuk dalam analitik ramalan jangka panjang dan pengurusan kesihatan penduduk.
Yang Berhormat turut menegaskan kepentingan memastikan aspek kepercayaan, tadbir urus dan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan teknologi Kesihatan.
Di samping itu, Yang Berhormat juga menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa, khususnya dengan institusi dan rakan teknologi kesihatan dari Republik Rakyat China, dalam bidang tadbir urus AI, interoperabiliti data serta penyelidikan dan menyatakan komitmen NBD untuk bekerjasama dengan rakan global dalam membangunkan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan, saksama dan mampan.
Semasa berada di Beijing, Republik Rakyat China, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah berkesempatan mengadakan kunjungan-kunjungan hormat kepada Menteri Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Yang Berhormat Dr. Lei Haichao, dan Datuk Bandar Beijing, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Yin Yong, bagi membincangkan kepentingan bersama dan menerokai hubungan kerjasama khususnya dalam bidang inovasi digital dan teknologi kesihatan, serta dalam bidang penyelidikan dan program pertukaran dan latihan profesional kesihatan.
Di samping itu, Yang Berhormat juga merakamkan penghargaan kepada pihak Kerajaan Perbandaran Beijing yang telah menjemput delegasi NBD untuk menghadiri Persidangan Tahunan Forum ZGC 2026 dan mengalu-alukan pertukaran maklumat dan pengukuhan kerjasama dua hala.
Yang Berhormat juga telah membuat perjumpaan dua hala bersama Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Yang Berhormat Budi Gunadi Sadikin, bagi membincangkan dan bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor kesihatan serta memperkukuh hubungan sedia ada melalui aktiviti bersama dan persetujuan bagi penandatangan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MOU) dalam beberapa bidang kesihatan.
Semasa tempoh berada di Beijing, delegasi NBD telah berkesempatan mengadakan program lawatan kerja kepada beberapa institusi kesihatan yang diiktiraf antara terbaik di Republik Rakyat China dan cemerlang di peringkat antarabangsa termasuk Peking Union Medical College Hotel, Beijing Cancer Hospital dan Tsinghua Changgung Hospital serta melawat tempat-tempat berkepentingan termasuk YiduTech, BGI dan ByteDance bagi memudahcara pertukaran pengalaman berkaitan penjagaan Kesihatan AI (AI-enabled healthcare), pembangunan digital kesihatan dan tadbir urus kesihatan.
Dengan kehadiran delegasi NBD pada forum, perjumpaan serta lawatan-lawatan tersebut diharap akan membuka peluang untuk meneroka potensi kerjasama strategik di samping membina rangkaian dengan institusi dan pihak berkepentingan di peringkat antarabangsa yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan teknologi dan pengukuhan sistem negara serta dapat menyumbang kepada hubungan diplomatik yang positif bersama Republik Rakyat China dan antarabangsa dalam mengekalkan kerjasama yang baik dari segi pembangunan dan kemakmuran.